PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan lima negeri termasuk Sabah dan Sarawak mengalami hujan lebat dan ribut petir malam ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, cuaca buruk dijangka berlaku di Kedah (Kulim dan Bandar Baharu) serta Pulau Pinang (Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan).
“Dalam pada itu, hujan lebat dan ribut petir turut tertumpu di Perak melibatkan Kerian, Larut, Matang dan Selama.
“Di Sarawak, cuaca buruk turut diramalkan berlaku di Kuching, Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Telang Usan dan Marudi) dan Limbang,” kata MetMalaysia hari ini.
Sementara itu, di Sabah pula, ribut petir dan hujan lebat dilaporkan berlaku di kawasan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Nabawan dan Tambunan), Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) diikuti Kunak dan Lahad Datu di Tawau.
Bagaimanapun, MetMalaysia melaporkan cuaca sama melanda kawasan Pantai Barat (Ranau) dan Kudat (Kota Marudu) berterusan sehingga pukul 7 malam ini. – KOSMO! ONLINE