fbpx

Hilang 2 minggu, Hamizan ditemui tidak bernyawa dalam kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Hamizan.

JOHOR BAHRU – Misteri kehilangan seorang jurutera tapak di Projek Perumahan Transit Penjawat Awam Pengerang, Kota Tinggi dekat sini pada 18 Mei lalu terjawap apabila lelaki itu ditemui maut di Taman Pelangi, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mayat Muhammad Hamizan Ramli, 33, ditemui dalam kereta milik lelaki itu pada pukul 11 pagi.

“Orang hilang (mangsa) itu dijumpai meninggal dalam kereta pada pukul 11 pagi di kawasan Taman Pelangi. Proses bedah siasat sedang dilakukan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Raub memberitahu, siasatan awal mendapati kes kematian mangsa diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) kerana tiada unsur jenayah.

Jelas beliau, mangsa dipercayai meninggal dunia sejak beberapa hari kerana keadaan mayatnya yang sudah mula mereput.

Kosmo! pada 28 Mei lalu melaporkan seorang lelaki meminta bantuan orang ramai sekiranya mempunyai maklumat mengenai adiknya yang dilaporkan hilang sejak 19 Mei lalu.

Muhammad Hamizan kali terakhir dilihat oleh rakan sekerjanya pada petang 18 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI