LINCOLN, NEBRASKA – Seorang wanita yang disahkan meninggal dunia kembali hidup selepas dua jam berada di rumah pengebumian, demikian menurut pihak berkuasa seperti dilaporkan agensi berita United Press International.
Menurut Ketua Timbalan Pejabat Syerif Daerah Lancaster, Ben Houchin, wanita tersebut dikenali sebagai Constance Glantz, 74, dari bandar Lincoln, Nebraska.
Glantz merupakan penghuni rumah jagaan Mulberry at Waverly di bandar Waverly, yang menjadi lokasi dia menerima rawatan dan jagaan hospitaliti.
Tambah Houchin, Glantz dilaporkan meninggal dunia kelmarin kira-kira pukul 9.44 pagi (waktu tempatan) dan mayatnya telah dibawa oleh pekerja ke rumah pengebumian.
Namun, ketika melakukan prosedur pengebumian, mereka menyedari bahawa Glantz masih bernafas dan segera menghubungi perkhidmatan kecemasan.
“Glantz dibawa ke hospital berdekatan sebelum dia diisytiharkan masih hidup,” kata Houchin.
Sementara itu, siasatan ke atas rumah jagaan itu sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. – AGENSI