fbpx

Bukit Aman selesai rakam keterangan pemandu e-hailing OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Surendran (tengah) ketika ditemui pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini

KUALA LUMPUR – Pemandu e-hailing orang kelainan upaya (OKU) yang didakwa diserang pengiring rombongan kenamaan selesai dirakam keterangan selepas hampir lima jam disoal siasat hari ini.

Ong Ing Keong, 46, bersama peguam daripada Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya dan N. Surendran keluar dari pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sekitar pukul 3.30 petang.

Peguam, N Surendran berkata, anak guamnya dirakam percakapan oleh tiga pegawai dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Kata beliau, antara perkara yang disoal berhubung situasi di lobi Hotel St Regis pada 28 Mei lalu dan situasi semasa laporan polis pertama dan kedua dibuat di Balai Polis Brickfields pada hari sama.

“Dalam situasi pertama, mereka (polis) bertanyakan tentang situasi insiden di lokasi kejadian, pelaku yang terbabit serta apa yang berlaku secara keseluruhan.

“Polis turut merekodkan tentang situasi yang berlaku di balai polis pada petang hari kejadian di mana ketika Ing Keong membuat laporan polis pertama dan selepas dia diminta untuk hadir pada malam hari untuk menarik laporan polis yang dibuat,” katanya ketika ditemui petugas media di hadapan Bukit Aman hari ini.

Katanya, Ing Keong turut diminta untuk menjelaskan jumlah pegawai polis yang berada di balai polis serta butiran yang diarahkan oleh pegawai penyiasat kes kepadanya.

Ketika ditanya berkenaan identiti pelaku tersebut, Surendran memberi bayangan bahawa individu yang dilaporkan memukul Ing Keong adalah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kami diberikan maklumat oleh pihak polis bahawa individu yang disyaki memukul Ing Keong adalah anggota PDRM, namun tidak mempunyai butiran lanjut tentang individu terbabit.

“Untuk selanjutnya, ada kemungkinan Ing Keong akan dipanggil semula oleh pihak polis selepas siasatan jenayah berhubung kes ini masih lagi berjalan di bawah bidang kuasa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, manakala siasatan tatatertib dilakukan oleh JIPS,” katanya.

Dalam pada itu, Surendran meminta kerajaan memperhalusi semula aspek penugasan kawalan keselamatan membabitkan pengawal pengiring polis yang ditugaskan mengawasi orang kenamaan.

“Mereka (polis) bukan hanya harus menjaga keselamatan orang kenamaan, malah harus juga mengutamakan keselamatan orang awam dan masyarakat,” katanya.

Minggu lalu, media melaporkan salah faham arahan pergerakan mengalihkan kenderaan dipercayai punca seorang pemandu e-hailing diserang pengiring kepada rombongan kenamaan dalam kejadian di sebuah hotel di Brickfields pada 28 Mei lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa dilaporkan berkata, kejadian tersebut berlaku disebabkan salah faham arahan pergerakan mengalihkan kenderaan dan kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Bagaimanapun, pengadu membuat laporan polis kedua menyatakan telah menyelesaikan perkara yang berlaku secara baik serta tidak mahu memanjangkan kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI