KLANG – Risikan tiga agensi melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya membongkarkan kegiatan sindiket penyeludupan terbesar di Pelabuhan Klang.
Dalam operasi khas di Selangor dan Kuala Lumpur baru-baru ini, pasukan khas diketuai SPRM menahan sebanyak 19 buah lori kontena disyaki membawa pelbagai jenis barangan ‘lari cukai’ yang diseludup keluar tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati sindiket tersebut memiliki lebih 10 syarikat ‘forwarding’ yang digunakan bagi menyeludup barang-barang import dengan membuat pengisytiharan cukai palsu.
“Hasil risikan yang dijalankan lebih tiga bulan mendapati, modus operandi sindiket ini adalah menggunakan pelbagai syarikat ‘forwarding’ yang didaftarkan atas nama individu yang tidak tahu menahu mengenai urusan import serta eksport.
“Ia bertujuan bagi mengaburi mata pihak berkuasa selain bagi membolehkan ahli-ahli sindiket ini terlepas daripada sebarang tindakan dengan alasan tiada kaitan dengan syarikat-syarikat berkenaan,” katanya.
Jelas sumber itu, sindiket tersebut dipercayai didalangi oleh seorang lelaki warga asing yang mana ibu pejabatnya dipercayai berada di luar negara.
Sindiket itu dipercayai sudah beroperasi sejak lebih 10 tahun lalu.
“Sindiket tersebut dianggarkan sudah menguruskan lebih kurang 3,000 kontena sebulan. Hasil ketirisan cukai bagi tempoh 10 tahun adalah sebanyak RM3.5 billion berdasarkan cukai minimum RM7,000 bagi setiap kontena.
“Bagi mengelak dikenakan cukai, sindiket ini telah membuat pengisytiharan palsu menggunakan Borang Kastam 9 (untuk tujuan pecah kecil pukal) dengan mengisytihar barangan tidak bercukai seperti kerusi roda dan barangan perubatan,” katanya.
Tambah sumber itu, risikan mendedahkan, ‘kontena terbang’ ini akan memasuki Gudang Berlesen Awam (GBA) Pelabuhan Utara hanya untuk tempoh 10 hingga 15 minit bagi mengaburi mata pihak berkuasa sedangkan ia tidak melalui proses pemeriksaan kastam.
Kontena iru seterusnya akan keluar dari pelabuhan untuk diedarkan ke seluruh negara.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan reman terhadap dua individu di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.
Mahkamah membenarkan tahanan reman selama empat hari mulai hari ini sehingga Sabtu ini.
Menurut Azam, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh termasuk di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pengubahan Wang Haram, Akta Kastam 1965 dan akta di bawah LHDN.
“SPRM amat mengalu-alukan kerjasama Ketua Pengarah JKDM dan berharap ketua-ketua jabatan mengambil langkah seumpama ini untuk mengekang isu-isu rasuah dan ketirisan di agensi masing-masing.
“Kami telah mengenal pasti identiti semua pihak termasuk dalang utama yang dipercayai berada di luar negara, pemilik syarikat, ejen ‘forwarding’ dan pegawai kastam yang bersekongkol dengan sindiket ini dan akan menahan mereka dalam masa terdekat.
“SPRM juga akan memohon bantuan agensi negara luar bagi membantu mendapatkan maklumat mengenai akaun-akaun milik dalang utama ini agar tindakan yang bersesuaian dapat diambil,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.