fbpx

Gelaran ASN 2023 jadi rebutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
QABIL akan bersaing dengan empat lagi atlet untuk merebut gelaran Olahragawan ASN 2023.

DEBARAN persaingan untuk merebut gelaran Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2023 (ASN) yang akan dianjurkan 13 Jun ini semakin dirasai apabila bakal dicabar 10 calon atlet-atlet terbaik negara.

Gelaran Olahragawan sebelum ini menjadi milik bekas juara dunia beregu lelaki badminton, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, manakala Olahragawai Kebangsaan pula menjadi milik gimnas negara, Ng Joe Ee.

Saingan merebut gelaran kali ini menjadi lebih menarik kerana juara dunia bina badan enam kali, Datuk Mohd. Syarul Azman Mahen Abdullah turut tersenarai dan mampu menjadi hadiah persaraan terbaik kerana ia satu-satunya gelaran belum berada dalam genggamannya.

Bagaimanapun, Syarul yang terkenal dengan gelaran Mike bakal menerima tentangan hebat daripada empat calon lain antaranya atlet karate yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou, Arif Afifuddin Ab. Malik.

Jaguh ekuestrian negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil, Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling) dan Ng Eain Yow (skuasy) turut tersenarai merebut gelaran Olahragawan ASN 2023.

Sementara itu, saingan bagi gelaran Olahragawati juga tidak kurang hebatnya apabila ratu skuasy negara, S. Sivasangari yang kini berkelana di Amerika Syarikat turut tersenarai.

Bintang skuasy No.1 negara itu bakal ditentang hebat oleh pemain tenpin boling wanita, Natasha Mohamed Roslan yang muncul juara dunia tahun lalu.

Tiga lagi nama berada dalam pencalonan akhir bagi gelaran Olahragawati adalah atlet muay thai, Nor Amisha Azrilrizal, Nur Shazrin Mohd. Latif (pelayaran) dan Nurul Alyani Jamil (boling padang).

Sementara itu, Bonnie Bunyau Gustin mengetuai kategori Olahragawan Paralimpik diikuti tiga atlet para olahraga, Muhammad Ziyad Zolkefli, Datuk Abdul Latif Romly, Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi dan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli (pararenang).

Lima pencalonan gelaran Olahragawati Paralimpik pula menyaksikan Nur Azlia Syafinaz Mohd. Zais (para berbasikal), Nur Suraiya Muhamad Zamri (para berbasikal), Noor Askuzaimey Mat Salim (boccia), Angeline Melissa Anak Lawas (boccia) dan Jariah Zakaria (para boling padang). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI