Oleh Mohd. Fariq
BERITA gembira buat penyokong bola sepak tempatan apabila penyerang KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin dilaporkan semakin hampir untuk kembali beraksi di atas padang.
Terdahulu, Luqman ditimpa kecederaan hamstring ketika menjalani sesi latihan yang mana pemain berusia 18 tahun itu mengalami kecederaan koyak otot hampir dua sentimeter.
Bagaimanapun, status Luqman semakin baik dan anak jati Kota Bharu, Kelantan itu dijangka kembali merebut tempat dalam 18 pemain terbaik dan menjalani latihan untuk kembalikan kecergasannya.
Semangat Luqman untuk beraksi semakin membara selepas Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Belgium, Prisheela Prakas bersama pasukannya sempat menjenguk Luqman yang giat menjalani persiapan semalam.
Jelas Prisheela yang turut disambut oleh Pengarah KVK, Matthias Leterme memberitahu, beliau gembira menyaksikan proses Luqman yang bukan sahaja pulih daripada kecederaan tetapi berjaya menyesuaikan diri dengan budaya di Eropah.
“Kami sangat gembira melihat perkembangan Luqman walaupun dia berdepan detik sukar dengan masalah kecederaan tetapi Luqman kembali pulih dan bersedia untuk kembali bermain.
“Malah, Leterme gembira menyaksikan perkembangan Luqman dan apa yang pasti, kami di kedutaan sentiasa ada untuk Luqman jika memerlukan sebarang bantuan.
“Kami sangat gembira dapat melawatnya buat pertama kali di kelab ini dan kami juga ingin berterima kasih kepada KVK yang sudi menyambut kedatangan kami,” kata Prisheela semalam.
Dalam perkembangan sama, Luqman melahirkan rasa penghargaan terhadap Kedutaan Malaysia di Belgium yang sudi menziarahinya, sekali gus menjadi suntikan moral terbaik untuk kembali bermain.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kedutaan Malaysia kerana sudi melawat saya dan saya sangat berbesar hati kerana mereka telah banyak membantu saya sebelum ini sehingga tiba di Belgium,” katanya.
Sementara itu, pemilik KV Kortrijk, Tan Sri Vincent Tan turut tidak terlepas peluang untuk melahirkan penghargaan kepada Kedutaan Malaysia yang sanggup turun padang melihat keadaan Luqman.
“Saya fikir kedatangan Kedutaan Malaysia itu menunjukkan kerisauan mereka terhadap Luqman.
“Saya sangat menghargai bantuan Kedutaan Malaysia yang sentiasa menghulurkan pertolongan dan saya mahu Luqman kembali pulih untuk bermain.
“Apa yang pasti, saya akan sentiasa memantau perkembangan Luqman melalui pengurusan kelab,” ujarnya.