SABAK BERNAM – Peniaga baharu dan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di Lembah Klang antara golongan tertinggi dikesan masih ingkar mendaftar caruman pekerja.
Pengarah Perkeso Selangor, Ismail Abi Hashim berkata, perkara itu dikesan pihaknya menerusi pemeriksaan ke atas hampir 1,000 majikan sepanjang Bulan Pemutihan sejak 15 Mei lalu.
Kata beliau, tiada masa dan tidak mengetahui kewajipan membuat caruman itu antara alasan lapuk yang diberikan majikan.
“Kita tidak lagi akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka selepas berakhirnya tempoh lanjutan pemutihan pada hujung bulan ini,” katanya ketika ditemui pada program penyerahan tajaan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di Pejabat Penyelaras Parlimen Sungai Besar di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE