fbpx

Bangga gagal SPM, jangan normalisasikan – Erysha Emyra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ERYSHA EMYRA

KUALA LUMPUR – Pelakon Erysha Emyra tidak bersetuju dengan tindakan segelintir generasi muda bangga menayang keputusan gagal Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain memandang remeh kepentingan pendidikan seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Erysha atau nama penuhnya Nur Erysha Emyra Zakaria, 25, berkata, SPM adalah antara fasa penting sebelum memilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Saya kurang setuju apabila ada yang buat ‘content’ dalam media sosial tentang kegagalan dalam SPM dan anggap semua itu tidak penting.

“Bagi saya, pada peringkat apa pun, pendidikan adalah penting. Kalau gagal sekalipun, jangan begitu bangga apatah lagi galakkan orang dengan pencapaian sebegitu. Jangan normalisasikannya,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.

Dalam pada itu, dia yang merupakan pelajar cemerlang dengan pencapaian 9A pada SPM 2016 terpaksa menangguhkan hasrat melanjutkan pengajian di universiti kerana mahu memberi tumpuan terhadap kerjaya seni terlebih dahulu.

Ujarnya, keputusan itu dibuat selepas melibatkan diri dalam dunia lakonan kerana merasakan ada tanggungjawab yang perlu dilunaskan sebelum memikirkan tentang pengajian.

“Buat masa ini saya tangguh dulu hasrat sambung belajar. Apabila sudah bekerja ada tanggungjawab yang perlu saya laksanakan

“Jadi, sekarang biarlah saya bekerja dahulu,” katanya lagi.

Terdahulu, sekitar 2017, anak kepada dramatis Noniswara itu mencuri tumpuan ramai apabila berjaya meraih keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan SPM.

Erysha yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Aminudin Baki mendapat A bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Sains, Prinsip Perakaunan, Ekonomi dan Pendidikan Islam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI