PETALING JAYA – Pendakwah popular, Ustaz Don Daniyal ‘direhatkan’ daripada program yang sinonim dengan musim ibadah haji, Salam Baitullah ekoran beberapa kontroversi yang terpalit dengan dirinya.
Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman dalam satu kenyataan berkata, Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal bin Don Biyajid, 40, ‘direhatkan’ untuk meredakan keadaan yang tegang di platform media sosial.
“Untuk meredakan keadaan, saya sudah arahkan ‘team’ Salam Baitullah untuk ‘rehatkan’ dulu Ustaz Don. Jangan tanya apa saya rasa dan fikir,” tulisnya dalam ciapan hari ini.
Di awal ciapannya, Suhaimi turut menjelaskan bahawa tugas Ustaz Don dalam rancangan tersebut adalah sebagai juruacara dan bukannya penganalisis atau penceramah.
“Beliau juga dinasihatkan agar tidak mengundang kontroversi. Beliau akur. Pimpinan tertinggi barisan pengarang juga ada di lokasi menentukan semua juruacara mengikut skrip. Kita doakan yang baik-baik,” katanya.
Dalam pada itu, Suhaimi turut berpesan kepada orang ramai agar mengadakan perbincangan secara terbuka dan sopan.
Katanya, kebanyakan pengguna media sosial kurang menghormati pandangan orang lain sama ada perkara itu betul atau pun tidak.
“Kebijaksanaan dan intelektual dalam kalangan orang kita mungkin masih jauh. Yang penting nampak tegas dan belasah. Begitulah,” tulisnya.
Terdahulu, kecoh di Facebook apabila seorang pensyarah kanan Jabatan Pengajian al-Quran dan As-Sunnah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia membuat teguran terbuka kepada seorang pendakwah dipercayai Ustaz Don.
Kata pensyarah tersebut, orang ramai perlu berhati-hati dengan dakwah yang diberikan oleh ustaz selebriti itu kerana didakwa menyebarkan cerita serta hadis lemah.
Lebih hangat lagi, pendapat tersebut turut dikongsi semula oleh seorang pempengaruh dikenali sebagai @ZacZakirin13 yang turut mendakwa Ustaz Don sering berkongsi kisah-kisah tidak sahih bersandarkan Nabi Muhammad SAW.
Semalam, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut mengeluarkan status hadis riwayat cinta pertama Rasulullah SAW berkaitan kisah Ummu Hani’ dimana penceritaan Ustaz Don dianggap lemah dan hadis digunakan adalah tidak bersumber.
Ustaz Don sebelum ini juga ada mengeluarkan kenyataan tentang dakwaan dirinya menggunakan hadis lemah dalam satu podcast sebuah radio tempatan.
Katanya, dia tidak mempunyai niat langsung untuk menyeleweng umat Islam bahkan semua buku-buku yang dirujuk adalah sahih menurut para ulama. – KOSMO! ONLINE