PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan cuaca cerah dan baik di hampir seluruh negara pagi ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, hujan lebat kini hanya tertumpu sekitar negeri Sabah melibatkan beberapa tempat di Pedalaman, Pantai Barat dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Keadaan cuaca baik, cerah dan tiada hujan di seluruh Semenanjung ini dijangka berterusan hingga tengah hari nanti,” katanya.
Sementara itu, bagi cuaca sebelah petang pula, MetMalaysia menjangkakan ribut petir dan hujan lebat di seluruh negara terutama Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Johor.
“Cuaca buruk sama turut dijangka melanda kawasan pedalaman Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Di Sarawak, hujan lebat berserta ribut petir bakal berlaku sekitar Kuching, Serian, Samarahan, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang, manakala di Sabah melibatkam Pedalaman, Pantai Barat, Tawau, Sandakan serta Kudat,” katanya.
Dalam pada itu, bagi cuaca sebelah malam, hujan lebat dan ribut petir diramal melanda di beberapa tempat negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu.
“Cuaca hujan dan lembap turut dijangka berlaku di Kuala Lumpur dan Johor serta sebahagian kawasan Sabah dan Sarawak,” jelas MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE