fbpx

PM ucap takziah kepada keluarga Pyan Habib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOMEN Anwar bersama Allahyarham Pyan Habib.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pelakon dan penyair, Allahyarham Pyanhabib, yang menghembuskan nafas terakhir pukul 9.30 malam tadi.

Perdana Menteri berkata, beliau pasti akan mengenang setiap karya Allahyarham yang sentiasa membawa suara dan denyut nadi rakyat.

“Terima khabar duka penyair dan seniman Pyanhabib atau Osman Tikus telah kembali ke rahmatullah.

“Pengorbanan serta perjuangan Allahyarham akan tersemat utuh buat selamanya,” katanya menerusi Facebook.

Menerusi perkongsian sama, Anwar turut mendoakan keluarga seniman asal Taiping, Perak itu tabah menghadapi dugaan.

“Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga serta mendoakan roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Pyanhabib atau Mohd. Supyan Abdul Rahman, 66, meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang.

Berita pemergian Allahyarham Pyanhabib dikongsikan isterinya, Zurina Zakaria di laman Facebook malam tadi.

Aktivis yang aktif menulis dan deklamator sejak 1976 bersama Anak Alam itu mencetuskan fenomena dengan puisi sentuhannya.

Anak Alam ialah kumpulan seni yang diasaskan pada dekad 1970-an oleh sekumpulan seniman tanah air yang disertai penyair, pemain teater, penulis dan pelukis.

Beliau yang turut aktif dalam teater dan lakonan filem, selain menulis beberapa buah buku baru sahaja seminggu meraikan ulang tahunnya yang ke-66 pada 27 Mei lalu.

Tahun lalu, Allahyarham dianugerahkan Tokoh Penyair Kuala Lumpur 2023 oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

Menerusi arena lakonan pula, Pyanhabib membintangi filem Kembara Seniman Jalanan, Tsu Feh Sofiah, Rozana Cinta 87, Tak Kisahlah Beb, Mat Som, Rock Oo!, Apokalips X, dan Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium.

Beliau pernah dicalonkan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem arahan Rahim Razali berjudul Tsu Feh Sofiah, namun menolak penganugerahan tersebut di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-7.

Pyanhabib dikatakan terkilan kerana tidak dipertandingkan menerusi Kembara Seniman Jalanan sekali gus menjadikan satu-satunya pelakon yang menolak pengiktirafan dalam industri filem di negara ini sehingga kini.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan dua anak iaitu Najihah Mohd Supyan, 31, dan Ahmad Ashmand Farabi Mohd Supyan, 28 tahun.

Jenazah akan dimandikan di Masjid As Sobihin di Lembah Keramat, Ampang pada pukul 9 pagi ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 pukul 10 pagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI