KLUANG – Tujuh lelaki tempatan ditangkap kerana memiliki senjata api dengan menyalahi undang-undang serta amunisi tanpa lesen atau permit.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, tangkapan dilakukan oleh Penguatkuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama sepasukan anggota Batalion Lima Pasukan Gerakkan Am (PGA) Simpang Renggam kira-kira pukul 4.55 petang pada 1 Jun di Kampung Baru Dalam di Kluang.
Katanya, tahanan yang berusia antara 34 hingga 39 tahun itu ditahan ketika menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda dipercayai dalam perjalanan balik dari berburu.
“Hasil penahanan kenderaan pacuan empat roda berkenaan, pihak penguatkuasa telah menemui seekor binatang dipercayai rusa, 12 ekor dipercayai ayam hutan yang sudah mati.
“Turut ditemui dan dirampas adalah tiga laras senjata api jenis senapang patah serta 18 butir peluru hidup,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin lagi, semua tangkapan tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian saringan air kencing negatif daripada pengaruh dadah.
“Semua tahanan dikenakan tahanan reman selama lima hari bermula 2 Jun sehingga hingga 7 Jun,”katanya. – KOSMO! ONLINE