fbpx

‘Terpaksa tangguh rawatan anak sebab tak cukup duit’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURUL WAHIDA (tiga dari kiri) bersama anak-anaknya ketika ditemui di kediamannya di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut baru-baru ini.

JERANTUT – “Anak-anak saya masih pakai baju seragam lama walaupun sudah beberapa bulan sesi persekolahan 2024 bermula kerana kami tiada duit, tiada pendapatan tetap.”

Luahan itu disuarakan Nurul Wahida Kamarudin, 40, yang memberitahu, dia juga masih berhutang dengan pihak sekolah sebanyak RM410 biarpun anak sulungnya, Nurul Syafika Mohd. Nazril, 18, telah menamatkan tingkatan lima.

Menurutnya, tiga anaknya iaitu Nurul Syafinaz, 16, Nurul Syafiera, 13, dan Nurul Syaffiya Umairah, 10, tidak membeli persalinan sekolah baharu dan kerana kekangan duit.

“Saya bekerja menangkap ikan liar di kawasan anak sungai, manakala suami, Mohd. Nazrul Mat Zain, 43, melakukan kerja-kerja kampung dengan pendapatan kurang RM800 sebulan.

“Bukan sahaja dibelenggu hutang anak yang tamat SPM, untuk tiga anak yang masih bersekolah juga masih ada kira-kira RM500 bayaran yang belum dilunaskan termasuk duit PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) dan program akademik,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Nurul Wahida berkata, dia tidak dapat mencari pekerjaan yang lebih tinggi pendapatan kerana semuanya jauh sedangkan dia perlu menjaga tiga anaknya yang mempunyai komplikasi kesihatan penyakit jantung dan saraf.

“Nurul Syafinaz menghidap penyakit saraf sejak setahun lalu, jari telunjuk di tangan ki­rinya bengkak dan akan menjalani pembedahan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah pada 28 Jun ini.

“Disebabkan masalah kewa­ngan, kami terpaksa menangguhkan rawatan susulan Nurul Syafinaz dan anak bongsu kami, Nurul Aisyah berusia tiga tahun yang menghidap penyakit jantung di sebuah hospital di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Tambahnya, dua anaknya ketika ini menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM800 dan bantuan zakat sebanyak RM600, namun jumlah itu masih tidak mencukupi untuk rawatan serta berulang alik ke hospital.

“Saya reda dengan ujian dalam menjaga kebajikan anak. Harap orang ramai dapat membantu meringankan beban persekolahan dan rawatan anak-anak kami,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Nurul Wahida di talian 013 7154171 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank (Nurul Wahida) bernombor 156141469872.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI