FLORENCE – Sebaik sahaja dinafikan tempat dalam pasukan utama Ducati musim depan, pendahulu Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Jorge Martin tidak menunggu lama apabila mengambil keputusan menyertai Aprilia.
Pelumba Sepanyol itu akan mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan Aleix Espargaro selepas pelumba veteran berkenaan membuat keputusan untuk bersara sebaik sahaja saingan musim ini berakhir.
Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia Racing, Massimo Rivola berkata, pemilihan pelumba Pramac Racing itu sebagai pengganti Espargaro adalah tepat berdasarkan kemahuan tinggi yang sering ditunjukkan Martin.
“Dia (Martin) memiliki potensi yang cukup besar untuk terus berkembang dan ia tidak akan terhenti di sini. Dia sedang membina tapak untuk mencapai kejayaan yang amat diidam-idamkan Aprilia selama ini.
“Bagi saya, kami berkongsi matlamat yang sama, iaitu untuk mencapai kejuaraan. Terima kasih kepada Dr. Michele Colaninno atas peluang yang diberikan, kami tidak membuang masa untuk buat keputusan ini,” katanya.
Sebagai rekod, tempat sebagai pelumba kedua Ducati musim menjadi rebutan antara Martin dan pelumba Gresini Racing, Marc Marquez selepas Enea Bastianini dilaporkan tidak kekal bersama pasukan itu musim depan.
Menerusi keputusan yang dibuat Martin untuk menyertai Aprilia, ia secara tidak langsung memberi gambaran bahawa kekosongan dalam pasukan Ducati musim depan akan diambil alih Marquez. – AGENSI