MANILA – Hampir 3,000 orang berlindung di beberapa buah pusat perlindungan sementara hari ini selepas sebuah gunung berapi meletus di tengah Filipina.
Gunung Kanlaon di Pulau Negros meletus sebanyak enam kali semalam dengan menghamburkan abu, batu dan gas setinggi 5 kilometer ke langit.
Sekurang-kurangnya 2,800 orang berpindah ke pusat-pusat kecemasan, demikian menurut angka rasmi berikutan hujan abu, gas dan ancaman lahar gunung berapi.
Pentadbiran bandar Canlaon di wilayah Negros Oriental mengarahkan penduduk yang menetap di tepi sungai di kaki gunung berapi itu supaya meninggalkan kediaman masing-masing.
Sejumlah penerbangan keluar dan masuk dari ibu negeri wilayah Negros Occidental, Bacolod pula telah dibatalkan.
“Asap (gunung berapi) telah hilang,” kata pegawai agensi pengurusan bencana peringkat wilayah, Robert Araneta.
Filipina terletak di kawasan dikenali sebagai ‘Lingkaran Api Pasifik’ yang menempatkan lebih separuh daripada semua gunung berapi di dunia.
Kanlaon pula merupakan antara 24 gunung berapi aktif di Filipina. – AFP