fbpx

Tindakan Clare tidak hormat Institusi Diraja – Mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Clare dan Sultanah Zahirah

KUALA TERENGGANU – Tindakan pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown yang memfitnah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dalam buku bertajuk, The Sarawak Report-The Inside Story of 1MDB Expose adalah tidak menghormati Institusi Diraja di negara ini.

Menerusi alasan penghakiman, Majistret Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri berkata perbuatan yang dilakukan Clare telah memberi persepsi yang tidak baik kepada Sultanah Terengganu serta menjejaskan nama baik dan reputasi baginda.

“Berdasarkan keterangan-keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwaan, mahkamah berpuas hati bahawa kata-kata tohmahan terhadap Sultanah Terengganu adalah berunsur fitnah yang boleh menyebabkan nama baik dan reputasi Sultanah Terengganu tercemar dengan tohmahan tersebut.

“Perkataan tohmahan tersebut secara langsung telah mengaitkan penglibatan Sultanah Terengganu dengan seorang individu iaitu Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho) yang disyaki terlibat dengan skandal 1MDB dan secara tidak langsung mencemarkan nama baik Sultanah Terengganu dalam skandal terbesar negara ini,” katanya menerusi alasan penghakiman bertarikh 2 Jun.

Penghakiman lanjut turut menyatakan memandangkan perbicaraan dijalankan secara in absentia di bawah Seksyen 425A Kanun Tatacara Jenayah, mahkamah tiada pilihan lain mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta dihukum penjara dua tahun dari tarikh sabitan.

Berikutan keputusan Mahkamah Majistret itu, Clare, 65, telah memfailkan rayuan dan 6 Jun ini ditetapkan untuk pengurusan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Pada 7 Februari lalu, Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas Clare.

Mengikut pertuduhan, Clare yang beralamat di London, United Kingdom telah menulis sebuah buku bertajuk, The Sarawak Report-The Inside Story of 1MDB Expose yang mengandungi tohmahan terhadap Sultanah Terengganu.

Tohmahan seperti yang digariskan iaitu “the wife of the Sultan” terhadap Sultanah Terengganu pada muka surat tiga, perenggan keempat dan baris ketujuh itu adalah suatu fitnah yang diketahui Clare akan merosakkan nama Sultanah Nur Zahirah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Taman Chendering Utama pukul 8 pagi 14 September 2018 yang didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Mahkamah sebelum ini mengeluarkan waran tangkap terhadap wanita Britain tersebut kerana gagal menghadirkan diri untuk dituduh dalam kes berkenaan.

Prosiding perbicaraan kes semalam dijalankan secara ‘in absentia’ atau tanpa kehadiran di bawah Seksyen 425A Kanun Tatacara Jenayah.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI