MERSING – Seorang pemuda disyaki hilang selepas keluar mencari kerang di Pantai Tenglu Laut di sini semalam.
Mangsa, Hafiz Nursalam Ahmad, 21, tidak pulang ke rumah sejak petang semalam sebelum pihak keluarga melaporkannya kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima laporan pukul 12.55 malam tadi.
“Mangsa adalah orang Mersing dan selalu mencari kerang di lokasi tersebut. Keluarga mangsa ada mencari lelaki itu selepas dia tidak pulang ke rumah, namun hanya menemui motosikal dan selipar.
“Ekoran itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa digerakkan hari ini pada pukul 8 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya SAR melibatkan 48 anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Sebanyak lapan buah bot digerakkan melibatkan kawasan laut selain pencarian juga dilakukan di kawasan pesisiran pantai.- KOSMO! ONLINE