KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan memperuntukkan dana sebanyak RM1.8 juta melalui peruntukan pembangunan negeri di bawah Program Pembangunan Industri Padi bagi membantu pesawah yang terjejas akibat musim kemarau.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri ,Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, peruntukan yang diterima di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) itu dikhaskan untuk kawasan padi luar jelapang dengan pembinaan parit-parit ladang dan menyalurkan pam air untuk keperluan pesawah.
Menurutnya, pihak jabatan juga akan memastikan agar petani di luar jelapang akan memulakan kerja-kerja penyediaan tanah dan menanam lebih awal.
“Seperti yang telah ditetapkan di dalam jadual penanaman mengikut musim iaitu musim utama 2023/2024 ialah pada Ogos 2023 sehingga Februari 2024 dan luar musim 2024 pada Mac 2024 sehingga Julai 2024.
“Penanaman pada awal musim akan dapat mengelakkan daripada musim kemarau yang kebiasaannya akan berlaku pada Mac dan April setiap tahun,” katanya semasa menjawab soalan daripada Mohd. Syahbuddin Hashim (BN-Galas) pada persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Yang Ke-15 2024 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Tuan Mohd. Saripudin memberitahu, setakat ini, maklumat tanaman padi yang musnah akibat kemarau telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) Peringkat Negeri sebelum dibawa ke peringkat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Menurutnya, seramai 2,972 petani yang terjejas melibatkan kemusnahan seluas lebih 7.46 hektar dengan cadangan nilaian bantuan sebanyak RM5.5 juta bermula Mac hingga 15 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE