PUTRAJAYA – Kerajaan tiada rancangan untuk menurunkan kadar cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan ‘internal combustion engine’ (ICE) atau kenderaan guna bahan api buat masa ini.
Ia susulan penurunan mendadak kadar fi LKM kenderaan motor elektrik (EV) ditetapkan kerajaan bermula Januari 2026.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kadar cukai jalan yang ditetapkan bagi kenderaan itu ketika ini masih rendah dan berpatutan.
“Tidak (berhasrat turunkan fi LKM kenderaan ICE) sebab kita sekarang menggalakkan penggunaan kenderaan EV di negara ini.
“Bagi kenderaan ICE sedia ada, kita tak buat perubahan kepada (harga) cukai jalan kerana kebanyakan rakyat kita masih guna ICE,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, buat masa ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip sekitar RM4 bilion setahun bagi cukai jalan kenderaan ICE. – KOSMO! ONLINE