ZURICH – Penyerang prolifik Bayern Munich, Robert Lewandowski berjaya mengetepikan cabaran dua ikon bola sepak moden, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo untuk memenangi Anugerah Pemain Lelaki Terbaik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2020.
Kapten Poland itu meraih Anugerah Tahunan FIFA berdasarkan kecemerlangannya meledak 55 gol dalam 60 perlawanan membantu Bayern memenangi lima gelaran termasuk Liga Juara-Juara musim lalu.
Lewandowski, 32, gembira kerana memenangi anugerah itu tetapi tidak menjangka trofi tersebut disampaikan sendiri oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino awal pagi semalam.
“Saya rasa sangat gembira dan bangga dengan anugerah ini. Hari yang cukup hebat bukan sahaja kepada saya tetapi buat kelab dan semua rakan sepasukan.
“Ia sangat menakjubkan apabila dapat memenangi anugerah ini dan berada sebaris dengan Messi dan Ronaldo. Saya anggap ia sebagai satu penghormatan buat diri sendiri,” katanya.
Pada masa sama, Lewandowski turut mendedahkan bahawa dia sudah lama mengidamkan anugerah seperti itu dan menganggap kemenangan tersebut sebagai impian menjadi kenyataan.
“Saya akui sudah lama mengimpikan anugerah seperti ini dan akhirnya ia dapat direalisasikan. Segala kerja keras saya selama ini membuahkan hasil,” ujarnya. – AGENSI