TEL AVIV – Kebakaran besar melanda beberapa penempatan peneroka haram Yahudi di utara Israel lapor berita Al Mayadeen semalam.
Menurut media tempatan, kebakaran tersebut memaksa pihak berkuasa memindahkan penduduk ke beberapa penempatan lain di sekitar kawasan al-Jalil Pandhale termasuk penempatan terbesarnya, Kiryat Shmona.
Sebilangan besar anggota bomba dikerah ke lokasi kebakaran, namun api sudah merebak ke bahagian utara Kiryat Shmona dan menghampiri kawasan perumahan penduduk.
Penduduk di penempatan tersebut dan Margaliot diarah untuk berpindah kerana api merebak pantas ke seluruh kawasan belukar dan hutan. Pihak berkuasa di Kiryat Shimona mengadakan lawatan rumah ke rumah untuk mengarahkan mereka berpindah.
Setakat pukul 8 malam (waktu tempatan), pihak berkuasa memaklumkan kepada media tempatan bahawa kebakaran belukar dan hutan itu merebak ke bahagian utara bandar penempatan tersebut.
Pasukan bomba dan peneroka bertungkus lumus cuba memadamkan api yang menjulang mengelilingi penempatan Israel.
Di kawasan Golan dan Al-Jalil, sebanyak 15 titik panas dilaporkan ketika kebakaran berterusan berlaku, antaranya disebabkan oleh cuaca panas di kawasan tersebut.
Kebakaran juga dilaporkan berlaku di beberapa tempat lain, antaranya Metulla, Kfar Giladi, Mavo Hama dan Shlomi di barat Al-Jalil. — Agensi