TOKYO – Penduduk sebuah bandar di Pulau Hokkaido ketakutan selepas beberapa ekor beruang ganas berkeliaran mencari mangsa dengan menyerang haiwan dan manusia, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Mereka lebih takut pada seekor beruang gergasi bernama Oso18 yang mencetuskan huru-hara.
Binatang buas dahagakan darah itu turut digelar sebagai ‘beruang ninja’ selepas beberapa kali mengelak semua perangkap yang dipasang oleh pihak berkuasa.
Dalam masa hanya empat tahun, Oso18 telah menyerang 66 ekor lembu berhampiran bandar Shibecha dan Akkeshi di timur Hokkaido, di mana 32 daripadanya mati.
Meskipun beruang itu akhirnya ditembak mati oleh pemburu pada tahun lalu, kerisauan penduduk belum berakhir kerana serangan-serangan serupa terus berlaku.
Selain lembu, beruang-beruang tersebut turut menyerang manusia sehingga ada yang terbunuh.
“Saya sendiri telah melihat kira-kira 40 ekor beruang liar. Binatang buas ini ada di mana-mana.
“Jika anda membakar mercun di berhampiran haiwan ini sekali pun, ia tidak akan lari,” kata seorang pegawai tempatan kepada saluran berita All-Nippon News.
Dalam tempoh 12 bulan lalu, seramai 219 orang telah diserang beruang ganas dalam 198 insiden berasingan di Jepun, manakala enam mangsa terkorban, demikian menurut The Times.
Ia menandakan jumlah serangan tertinggi sejak negara itu mula merekodkan insiden serangan beruang pada 2007. – AGENSI