LISBON – Ketua Jurulatih Portugal, Roberto Martinez menagih ‘penyudah’ kapten pasukan, Cristiano Ronaldo dalam usaha memacu pasukan menjulang trofi Euro 2024 yang akan membuka tirai rasmi pada 15 Jun depan.
Sebagai rekod, Ronaldo telah diserapkan dalam senarai skuad utama Selecao pada kempen kali ini sekali gus menyaksikan penyertaan ke-11 berturut-turut dalam kejohanan bola sepak bertaraf antarabangsa sejak 2004.
Menurut Martinez, meskipun sudah berusia, ketajaman Ronaldo di hadapan gawang gol tidak boleh dipersoal dan mungkin boleh menjadi sandaran utama untuk membantu pasukan menamatkan kemarau trofi antarabangsa yang kali terakhir dimenangi pada 2019.
“Saya lebih suka bercakap mengenai statistik dan fakta kerana itu sudah sebati dengan Ronaldo. Dia berjaya menjaringkan 42 gol dalam 41 perlawanan di peringkat kelab bersama Al Nassr dan masih tajam sehingga kini.
“Secara peribadi, saya langsung tidak kisah di mana dia bermain sama ada di Liga Pro Arab Saudi atau di Eropah kerana apa yang penting dia boleh memberi sumbangan kepada pasukan,” katanya.
Ronaldo yang telah membantu Portugal menjuarai Euro 2016 dan Liga Negara-Negara Eropah (UNL) 2019 akan bersaing dengan Bernardo Silva, Diogo Jota, Goncalo Ramos, Joao Felix, Pedro Neto dan Rafael Leao di posisi serangan nanti.
Portugal yang diundi dalam Kumpulan F akan mengharungi dua perlawanan persahabatan menentang Finland pada awal pagi esok dan aksi pemanas badan terakhir bertemu Croatia pada Ahad ini. – AGENSI