SELEPAS tidak lagi bernaung dibawah panji Kesatuan Soviet, ini adalah penampilan pertama Georgia dalam pertandingan Eropah selepas melepasi peringkat playoff.
Daripada kedudukan ranking dunia, Georgia tidak tersenarai dalam kelompok 50 terbaik, namun kejutan sudah pun dicipta pada pusingan playoff apabila mengecewakan bekas juara 2004, Greece.
Walaupun bakal dianggap antara pasukan paling lemah, namun skuad yang digelar Jvarosnebi itu seakan mahu meninggalkan sesuatu untuk diingati sebagai titik tolak pasukan di pertandingn utama Eropah.
Dilatih oleh bekas bintang pertahanan Perancis, Willy Sagnol pastinya dilihat sebagai azimat buat Georgia untuk mencipta sesuatu pada penyertaan kali ini.
Pengalaman Sagnol ketika bergelar naib juara Piala Dunia 2006 akan ditagih Georgia sekurang-kurangnya untuk mengulangi kejutan seperti dicipta Greece pada Euro 2004.
“Kami tahu kami datang dari mana dan apa yang kami sudah lalui. Apabila kami layak, kami pasti akan meraikannya dan perkara itulah yang saya katakan kepada pemain.
“Tetapi kami ke Jermain tidak hanya sekadar untuk membeli belah atau pun bercuti. Saya pun sudah cukup kenal Jerman, jadi saya tidak lagi perlu melancong di sana.
“Perkara utama adalah kami tidak boleh pergi ke Jerman sebagai pasukan kecil, sebaliknya mahu tunjukkan cita-cita pasukan dan serlahkan kualiti yang kami ada,” katanya.
Daripada barisan pemain juga, Georgia memiliki beberapa bintang besar yang bermain di liga utama Eropah seperti Khvicha Kvaratskhelia yang mewakili Napoli dan Giorgi Mamardashvili (Valencia).
Di sebalik reputasi Georgia sebagai ‘pendatang baharu’, Sagnol dilihat bakal mempertaruhkan gabungan pemain muda dan berpengalaman di mana ketua pasukan, Guram Kashia yang memiliki lebih 100 kap antarabangsa dijangka terus mengetuai pasukan.
Ekoran keputusan Jaba Kankava, 38, yang menolak panggilan kali ini, Sagnol mengambil pendekatan menyenaraikan bintang berusia 18 tahun, Gabriel Sigua untuk memperkuatkan pasukan.
Penampilan ini juga akan menjadi detik terbaik buat Sagnol melunaskan misi dua dalam satu sekali gus mampu mencipta namanya sebagai jurulatih berkualiti.
Sagnol juga merasakan Georgia tidak boleh cepat berpuas hati dengan kejayaan mara ke pusingan akhir, sebaliknya wajib mendapatkan sesuatu daripada penyertaan kali ini.
“Ini adalah pencapaian terbaik saya sebagai pengurus pasukan. Tiga tahun lalu, ketika saya ambil keputusan untuk terima jawatan ini, ramai yang bertanyakan kepada saya kenapa terima tawaran itu?
“Sekarang saya boleh katakan kerja keras kami sudah menghadirkan sesuatu. Sebagai bekas pemain Perancis, saya boleh katakan Euro adalah pertandingan yang lebih sukar berbanding Piala Dunia,” jelasnya.
INFO
JURULATIH: Willy Sagnol
GELARAN: Jvarosnebi
PENCAPAIAN: –
RANKING: No.75 dunia
KUMPULAN: F (Turkiye, Portugal, Republik Czech)
SENARAI PEMAIN
PENJAGA GOL
Giorgi Loria (Dinamo Tbilisi)
Giorgi Mamardashvili (Valencia)
Luka Gugeshashvili (Qarabag)
PERTAHANAN
Guram Kashia (Slovan Bratislava)
Otar Kakabadze (Cracovia)
Solomon Kvirkvelia (Al-Okhdood)
Lasha Dvali (APOEL)
Jemal Tabidze (Panetolikos)
Luka Lochoshvili (Cremonese)
Giorgi Gocholeishvili (Shakhtar Donetsk)
Giorgi Gvelesiani (Persepolis)
TENGAH
Gabriel Sigua (Basel)
Nika Kvekverskiri (Lech Poznan)
Otar Kiteishvili (Sturm Graz)
Saba Lobzhanidze (Atlanta United)
Zuriko Davitashvili (Bordeaux)
Giorgi Chakvetadze (Watford)
Levan Shengelia (Panetlikos)
Giorgi Tsitaishvili (Dinamo Batumi)
Anzor Mekvabishvili (Universitatea Craiova)
Giorgi Kochorashvili (Levante)
Sandro Altunashvili (Wolfsberger AC)
PENYERANG
Giorgi Kvilitaia (APOEL)
Khvicha Kvaratskhelia (Napoli)
Budu Zivzivadze (Karlsruher SC)
Georges Mikautadze (Metz)