SEJAK dilantik pada 2017, Zlatko Dalic sudah menjadikan Croatia sebagai salah satu pasukan yang memiliki aura tersendiri untuk berada dalam senarai pencabar.
Daripada penyertaan di pertandingan utama, tiada satu pun sebab untuk tidak mengiktiraf kualiti Dalic dan paling membanggakan adalah pencapaian mereka muncul naib juara Piala Dunia 2018.
Pengendali berusia 57 tahun itu segera membuktikan bahawa kejayaan layak ke final Piala Dunia 2018 bukan secara kebetulan kerana turut menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik pada edisi 2022 dengan meraih tempat ketiga.
“Kami memiliki cabaran tetapi saya percaya kami mampu mengharunginya seperti yang pernah dilakukan sebelum ini. Matlamat kami pastinya mahu lepasi peringkat kumpulan dan bermain di pusingan kalah mati.
“Tugas ini bukan mudah kerana kami berada dalam kumpulan yang turut disertai Sepanyol dan Itali. Namun, kami juga tidak boleh memandang rendah keupayaan Albania yang cemerlang sepanjang pusingan kelayakan.
“Kami ada masa untuk melakukan persiapan dan saya begitu yakin kami mampu mengatasi setiap cabaran pada pertandingan kali ini,” kata pengendali Croatia itu.
Pencapaian itu tidak hanya tertumpu kepada Dalic berseorangan kerana kualiti Croatia turut berpaksikan kepada bintang veterannya, Luka Modric yang baru sahaja menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah keenam bersama Real Madrid musim ini.
Kali ini, magis Modric akan terus ditagih walaupun usianya hampir mencecah 39 tahun pada September ini, namun peranannya masih lagi penting buat Croatia.
Mateo Kovacic dan Josko Gvardiol juga dijangka menghadirkan impak besar pada Euro 2024 sekali gus diharapkan dapat memahat nama dengan satu lagi pencapaian positif dalam pertandingan ini.
Selain beberapa lagi pemain berpengalaman seperti penjaga gol, Dominik Livakovic dan tonggak pertahanan, Domagoj Vida, skuad yang sinonim dengan gelaran Checkered Ones juga memiliki pakej lengkap kerana kebanyakan pemainnya sudah cukup matang beraksi di liga-liga utama Eropah.
Persekutuan Bola Sepak Croatia tetap menaruh keyakinan kepada Dalic dan percaya status sebagai pasukan ketiga terbaik di Piala Dunia sebelum ini mampu menjadi azimat buat pasukan memburu keputusan positif.
Penampilan ini juga menjadi pentas buat Dalic meneruskan momentum dan pemain harus menyerlahkan potensi sebenar pasukan khususnya ketika berdepan Sepanyol dan Itali yang dianggap sebagai kuasa besar bola sepak Eropah di mana kedua-duanya pernah bergelar juara.
INFO
JURULATIH: Zlatko DaliC
GELARAN: Checkered Ones
PENCAPAIAN: Suku akhir (1996, 2008)
RANKING: No.10 dunia
KUMPULAN: B (Sepanyol, Itali, Albania)
SENARAI PEMAIN
PENJAGA GOL
Dominik Livakovic (Fenerbahçe)
Ivica Ivusic (Pafos)
Nediljko Labrovic (Rijeka)
Dominik Kotarski (PAOK)
PERTAHANAN
Domagoj Vida (AEK Athens)
Josip Juranovic (Union Berlin)
Borna Barisic (Rangers)
Josko Gvardiol (Manchester City)
Duje Caleta-Car (Lyon)
Borna Sosa (Ajax)
Josip Stanisic (Bayer Leverkusen)
Josip Sutalo (Ajax)
Martin Erlic (Sassuolo)
Marin Pongracic (Lecce)
Niko Kristian Sigur (Hajduk Split)
TENGAH
Luka Modric (Real Madrid)
Mateo Kovacic (Manchester City)
Marcelo Brozovic (Al Nassr)
Mario Pasalic (Atalanta)
Nikola Vlasic (Torino)
Lovro Majer (Wolfsburg)
Luka Ivanusec (Feyenoord)
Luka Sucic (Red Bull Salzburg)
Kristijan Jakic (Augsburg)
Martin Baturina (Dinamo Zagreb)
Toni Fruk (Rijeka)
Petar Sucic (Dinamo Zagreb)
PENYERANG
Ivan Perisic (Hajduk Split)
Andrej Kramaric (1899 Hoffenheim)
Bruno Petkovic (Dinamo Zagreb)
Marko Pjaca (Rijeka)
Ante Budimir (Osasuna)
Marco Pasalic (Rijeka)
Marin Ljubicic (LASK)
Igor Matanovic (Karlsruher SC)