fbpx

Skuad takraw negara dapat RM170,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain akan menerima insentif khas daripada MSN hasil kejayaan pada Piala Dunia Sepak Takraw minggu lalu.

SKUAD sepak takraw lelaki negara menerima insentif khas daripada Majlis Sukan Negara (MSN) berjumlah RM170,000 susulan kejayaan memenangi dua pingat emas dan satu perak pada Piala Dunia Sepak Takraw 2024 minggu lalu.

Berita gembira itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selepas memaklumkan pemain sepak takraw negara terutama acara double dan regu yang meraih pingat emas akan menerima sebanyak RM60,000.

Katanya, bagi acara berpasukan pula, pemain-pemain yang meraih pingat perak selepas tewas kepada Thailand menerusi keputusan 1-2 akan diberi ganjaran bernilai RM50,000.

“Ini adalah insentif khas daripada MSN, bukannya melalui SHAKAM (Skim Hadiah Kemenangan Sukan). Ini bukan kejohanan utama yang diletakkan PSM (Persatuan Sepak Takraw Malaysia) sebagai kejohanan utama.

“Namun, saya menggunakan budi bicara sebagai menteri untuk memberikan insentif khas ini kerana kita tahu Piala Dunia Sepak Takraw sangat besar maknanya untuk rakyat Malaysia dan atlet.

“Kita tahu atlet sudah bekerja keras untuk memenangi emas,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan kepulangan atlet boling padang para negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Diminta mengulas mengenai permintaan PSM untuk memiliki stadium sepak takraw sendiri, Hannah berkata, pihaknya bersama persatuan akan mengadakan perbincangan bersama universiti tempatan terutama soal kerjasama pembinaan stadium di tanah milik mereka.

“Kita ada 103 jenis sukan yang diwartakan, kalau boleh memang saya mahu padankan satu sukan itu ada tempat latihan sendiri tetapi untuk satu sukan dapat satu stadium agak sukar sebenarnya.

“Jadi, kita bersama persatuan berbincang dengan universiti kerana sekarang ini kita memang banyak jalinkan kerjasama dengan KPT (Kementerian Pengajian Tinggi).

“KPT ada banyak tanah untuk sukan dan bila tiada kejohanan pelajar-pelajar boleh gunakan. Saya rasa itu kaedah yang paling efektif,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI