KUALA LUMPUR – ‘Saya telah ditipu, hampir semua simpanan ‘hilang’ disebabkan sindiket penipuan,’
Demikian perkongsian pemain beregu campuran profesional negara, Lai Pei Jing selepas dirinya menjadi mangsa sindiket penipuan (scam) hingga mengakibatkan dia hilang hampir semua wang simpanannya.
Pei Jing yang berkongsi menerusi hantarannya di laman Instagram miliknya malam tadi berharap semua pihak memberikan dia ruang untuk bertenang bagi menangani emosinya dan keluarga.
“Pertama sekali, kepada saudara-mara dan rakan-rakan yang melihat hantaran ini, sama ada anda ingin tahu atau bimbang, saya mohon untuk berikan ruang kepada saya dan keluarga untuk menangani emosi kami.
“Ya, saya telah ditipu, hampir semua simpanan saya oleh sindiket penipuan. Sejujurnya, ini adalah tamparan yang sangat berat kerana ia adalah simpanan hasil kerja keras saya sejak bertahun-tahun.
“Ia memerlukan keberanian yang besar untuk bercakap tentang ditipu kerana siapa yang mahu memberitahu orang lain bahawa mereka telah ditipu.
“Saya harus menjelaskan sebab mengapa saya tiba-tiba menghilangkan diri sejak beberapa hari lepas. Semua ok, saya akan berkongsi lebih lanjut mengenainya.
“Saya berharap dapat menghalang lebih ramai mangsa dan menerima hakikat bahawa saya telah ditipu,” dedahnya yang turut telah membuat laporan polis. -KOSMO! ONLINE