PETALING JAYA – Taktik sindiket penyeludupan manusia menempatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya di sebuah rumah sebelum menghantar ke ibu negara melalui bas ekspres ditumpaskan Jabatan Imigresen (JIM), kelmarin.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kejayaan itu susulan aduan awam dan risikan yang dijalankan selama tiga minggu.
Jelas beliau, serbuan pukul 7.57 pagi itu dilakukan Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Jabatan Imigresen Malaysia di Terminal Bas Ekspres Kota Bharu, Kelantan.
“Pasukan yang diatur gerak melihat sebuah kereta Proton Wira dipandu secara mencurigakan dan memecut kenderaan sebaik menyedari kehadiran anggota Imigresen.
“Kenderaan itu ditahan di Terminal Bas Ekspres Kota Bharu dan selepas pemeriksaan menahan dua lelaki etnik Rohingya disyaki penghantar serta pembantu.
“Bersama mereka terdapat dua lelaki etnik sama yang disyaki akan dibawa ke Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ruslin, penahanan mereka membawa kepada serbuan di sebuah kediaman di Kota Bharu, Kelantan dan menahan dua lelaki etnik terbabit yang disyaki akan dibawa ke Kuala Lumpur.
Menurut beliau, hasil semakan mendapati empat lelaki memiliki kad UNHCR, manakala dua lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas sah.
“Turut dirampas dua kad UNHCR disyaki palsu, wang tunai RM2,000 dan kereta Proton Wira yang digunakan untuk mengangkut PATI berkenaan,” katanya
Kata Ruslin, modus operandi sindiket adalah menyeludup masuk PATI Rohingya ke negara ini melalui laluan haram di sempadan dan ditempatkan di rumah transit sebelum dibawa ke Kuala Lumpur menggunakan bas ekspres dengan diiringi seorang lelaki Rohingya yang datang dari Kuala Lumpur.
“Mereka yang baru masuk akan diberikan dokumen UNHCR disyaki palsu bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Bayaran yang dikenakan sindiket untuk penghantaran ke Kuala Lumpur adalah RM500 seorang dan RM100 dikenakan untuk penghantaran sekitar Kota Bharu,” katanya
Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007, Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan semua mereka ditahan di Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah, Kelantan.-KOSMO! ONLINE