KEHADIRAN pelakon Jeon Jong-seo dalam naskhah original terbitan Netflix berjudul The Call pada November lalu menjadi buah mulut peminat yang mengagumi bakat luar biasanya.
Jong-seo memegang watak bernama Young Sook, si wanita gila atau lebih tepat digelar psikopat. Lebih dramatik, dia juga wanita si pembunuh kejam.
Bergandingan dengan aktres serba boleh Park Shin-hye dalam filem berkenaan, ternyata kelibat Jong-seo masih juara di hati peminat. Dia sedikit pun tidak tenggelam dek populariti dan kehebatan lakonan wanita itu.
Dia dilabel sebagai pelakon yang berbakat besar kerana mampu menyelami dan menyampaikan karakter watak pembunuh psikopat dengan berjaya sehingga menimbulkan kebencian terhadap penonton.
Sejurus The Call ditayangkan dalam Netflix pada 27 November lalu, nama pelakon berusia 26 tahun itu pantas mengisi enjin carian dalam internet gara-gara rasa ingin tahu peminat terhadap empunya diri.
“Saya cukup terkejut. Ramai orang menonton The Call dalam Netflix dan filem itu jadi topik hangat dalam kalangan netizen.
“Situasi ini menyedarkan saya bahawa masa mengubah segalanya. Di sebalik perubahan budaya dan tanggapan bahawa naskhah filem hanya boleh ditonton di pawagam semata-mata, kehadiran The Call dalam platform penstriman seperti Netflix adalah satu nafas segar untuk industri perfileman.
“Saya tumpang gembira kerana The Call berjaya membuka laluan dengan penuh kejutan,” ujarnya ketika muncul dalam temu bual bersama Sports Kyunghyang.
The Call mengisahkan tentang dua wanita yang hidup pada dua zaman berbeza. Seo Yeon lakonan Park Shin-hye hidup pada zaman sekarang dan berhubungan dengan Young Sook yang pernah tinggal di kediaman sama 20 tahun lampau.
Ditebak dengan pertanyaan, apakah soalan yang ingin diajukan jika dia dihubungi seseorang pada masa hadapan sama seperti yang berlaku kepada Young Sook, Jong-seo memberi jawapan menarik.
Katanya, dia ingin mengetahui siapakah lelaki yang menjadi suaminya pada masa tersebut.
“Saya paling ingin tahu dengan siapa yang saya akan berkahwin. Jika boleh tanya soalan lain, saya mahu tahu apa perubahan yang tidak dijangka berlaku pada masa depan.
“Contoh paling mudah, perubahan penggunaan telefon pintar yang suatu ketika dahulu kita langsung tidak pernah terbayang. Saya mahu tahu perkara seperti itu,” tutur pemenang kategori Pelakon Baharu Terbaik pada Anugerah Persatuan Pengkritik Filem Asian 2019 itu.
‘Rookie’
Untuk yang baru ingin mengenali Jong-seo, dia dilahirkan pada 5 Julai 1994 di Seoul, Korea Selatan sebelum kemudian berpindah ke Kanada mengikut keluarganya ketika kecil.
Sebelum menempa populariti mendadak menerusi The Call, Jong-seo terlebih dahulu dikenali dengan watak Hae-mi menerusi filem thriller, Burning (2018). Filem berkenaan merupakan debut perdananya dalam bidang lakonan.
Ketika masih setahun jagung dalam industri, kepercayaan yang diberikan terhadap wanita itu untuk membintangi naskhah hebat membuktikan statusnya sebagai pelakon baharu atau digelar ‘rookie’ bukanlah penghadang untuk mengibar potensi diri.
Cuma nama Jong-seo sebelum ini pernah terpalit kontroversi apabila dia dilabel berkelakuan tidak sopan terhadap media Korea Selatan ketika hadir ke Cannes, Perancis sempena penganjuran Festival Filem Cannes 2018.
Berdasarkan beberapa keping foto yang tersebar dalam internet, Jong-seo tidak dapat menyembunyikan raut wajah tidak selesa kerana gambarnya dibidik kamera media Korea Selatan.
Graviti
Menyentuh keberadaannya dalam filem The Call, Jong-seo mengakui dirinya masih kerdil untuk dibandingkan dengan Shin-hye yang sudah berpengalaman luas dalam bidang lakonan.
Mengagumi Shin-hye sebagai pelakon handalan, wanita itu disifatkan bijak mengimbangi karakter sepanjang pengambaran agar momentum cerita stabil sehingga ke titik penamat.
“Pengalaman saya masih cetek, jadi saya tidak mampu menonjolkan stabiliti seperti yang dilakukan Shin-hye.
“Jika dia pun tidak dapat mengimbanginya, jalan cerita akan bertukar menjadi dangkal. Tetapi dia berjaya mengimbangi watak kami. Jika bukan kerana dia, rasanya keseimbangan filem ini hancur,” katanya.
Selepas memegang watak berat dalam naskhah ngeri seperti Burning dan The Call, aktres yang mendapat pendidikan di Sekolah Tinggi Seni Anyang, Gyeonggi-do itu menyimpan harapan untuk mencuba genre romantik.
“Saya mahu mencuba lebih banyak filem tanpa perlu risau memikirkan apa yang orang lain akan fikir.
“Saya mahu berhubung dengan peminat menerusi lakonan, tetapi disebabkan saya seorang yang pasif dan berpersonaliti introvert, saya belum dapat bayangkan bagaimana caranya.
“Tetapi sekarang saya mendapat keberanian untuk bertemu dan berhubungan dengan peminat kerana mereka sendiri telah menunjukkan sokongan yang menggunung,” katanya penuh makna.