PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar yang mewakili Kerajaan Perpaduan turut mendoakan agar Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah serta seluruh keluarga diraja sentiasa berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.
“Semoga baginda kekal qarar memayungi negara dengan adil dan saksama serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam Perlembagaan negara.
“Ia seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara ini,” katanya tadi.
Menerusi hantaran itu, Anwar turut berkata, beliau dan sekalian rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada institusi raja berperlembagaan. – KOSMO! ONLINE