LONDON – Enam buah planet berada pada kedudukan dalam ‘satu barisan’ hari ini dan ia adalah masa yang terbaik untuk melihatnya dari Bumi, lapor portal berita The Sun semalam.
Planet yang berada dalam satu barisan itu ialah Musytari, Utarid, Uranus, Marikh, Neptune dan Zuhal. Fenomena alam semula jadi itu boleh disaksikan pada waktu malam di negara-negara Barat.
Beberapa pakar berkata, penjajaran itu sukar untuk dikesan tetapi tidak mustahil untuk melihatnya.
“Melihat penjajaran sememangnya akan mencabar kerana ia berlaku sekitar matahari terbit dan semuanya agak rendah di bahagian Timur,” jelas Profesor Danny Steeghs dari Jabatan Fizik Universiti Warwick, England.
Fenomena visual itu berbeza daripada penjajaran astronomi, di mana planet berkumpul serentak pada sisi Matahari.
Mereka yang berharap untuk melihatnya dapat berbuat demikian jika langit cerah dan ufuk barat hampir rata.
Adalah penting untuk memastikan langit bebas daripada halangan seperti pokok atau bangunan.
Bagi mendapatkan pandangan terbaik, pemerhati-pemerhati bintang dinasihatkan untuk menggunakan binokular.
Bagaimanapun, peralatan lebih baik mungkin diperlukan untuk mengesan Uranus dan Neptune. – AGENSI