GUA MUSANG – Sepasang suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer 43, Jalan Gua Musang-Lojing, di sini hari ini tidak sabar menanti kelahiran sepasang anak kembar mereka.
Kakak mangsa, Suhaily Khairudin, 49, berkata, adiknya, Suhana, 37, yang mengandung enam bulan maut bersama suaminya, Ridwan Effendy Yusof, 43, teruja ingin menimang anak selepas melahirkan anak kedua yang kini berusia sembilan tahun.
“Sebelum kejadian, saya sempat berbual menerusi telefon dengan arwah yang menceritakan keadaannya yang keluar dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh selepas membuat pembedahan kecil pada kandungan.
“Saya reda dengan kejadian yang berlaku, namun tetap terkejut dengan nahas yang menimpa adik yang merupakan anak keempat daripada lima beradik,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Gua Musang di sini hari ini.
Suhaily berkata, Suhana pernah memberitahu ibu mereka bahawa dia bimbang jika meninggal dunia semasa bersalin, namun ibunya menenangkan Suhana dengan menyatakan bahawa meninggal dunia semasa bersalin adalah mati syahid.
Sementara itu, ibu saudara mangsa, Hakiah Nor, 61, berkata, keluarga Suhana menumpang tidur di rumahnya semasa di Kuala Lumpur sebelum ke HRPB dan Ridwan Effendy kerap meminta maaf serta mencium tangannya.
“Suhana dan suaminya tidur di dalam kereta malam tadi kerana hotel di sekitar Cameron Highlands, Pahang penuh. Ridwan Effendy mungkin penat kerana berulang memandu menghantar isterinya untuk menerima rawatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE