MANCHESTER – Pemain tengah Manchester City, Ilkay Gundogan enggan mengibarkan bendera putih dalam usaha memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang aksi penting menentang Southampton di Stadium St. Mary malam ini.
Sebagai rekod, skuad kendalian Pep Guardiola itu beraksi di bawah tahap sebenar pada saingan EPL musim ini selepas sekadar meraih keputusan seri dalam dua perlawanan terakhir ketika bertemu Manchester United dan West Bromwich Albion.
Kata Gundogan, tahap saingan kali ini sangat pelik khususnya buat The Citizens kerana gagal mencapai rentak konsisten seperti yang diramal apabila hanya mampu menduduki tangga kesembilan liga ketika ini.
“Kami telah mengharungi dua perlawanan sukar sebelum ini dan perlu segera lupakan kekecewaan meskipun sudah berusaha keras untuk meraih kemenangan. Mungkin ia disebabkan setiap pasukan yang kami temui mengamalkan corak bertahan.
“Saya harap situasi berbeza ketika menentang Southampton kerana mereka mempamerkan corak permainan terbuka. Barisan pemain tidak boleh menyerah kalah, sebaliknya terus berusaha membantu pasukan meraih tiga mata penuh,” katanya.
Sementara itu, Guardiola menegaskan, sudah tiba masanya pemain-pemain menggandakan usaha untuk kembali berada pada landasan kemenangan, namun dalam masa sama mereka tidak memandang rendah keupayaan Southampton.
“Ini adalah perlawanan penting buat kami selepas gagal mencapai keputusan positif dalam dua perlawanan terdahulu. Saya harap kami dapat meraih kemenangan tetapi tidak boleh memandang rendah kualiti yang ada pada pasukan tuan rumah,” jelasnya. – AGENSI