SINGAPURA – Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin mengadakan pertemuan bersama pemimpin pertahanan Asia Tenggara sempena Sidang Kemuncak Keselamatan Asia ke-21 Dialog Shangri-La 2024 (SLD24) hari ini.
Ia melibatkan Menteri Pertahanan dan wakil delegasi dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina dan Singapura.
Jabatan Pertahanan AS dalam kenyataan berkata, pertemuan itu antara lain bagi membincangkan usaha untuk meningkatkan kemananan dan kestabilan rantau berkenaan.
“Lloyd menegaskan bahawa AS komited untuk bekerjasama selain menyatakan sokongan terhadap pemusatan ASEAN serta Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Plus yang bakal diadakan November tahun ini,” katanya hari ini.
Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengetuai delegasi Malaysia menyampaikan ucapan pada sesi pleno ketujuh SLD24 yang bertajuk ‘Re-imagining Solutions for Global Peace and Regional Stability’.
Dalam lawatan kerja rasmi selama empat hari ke Singapura, Mohamed Khaled turut menghadiri mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan (FDMM) Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) ke-12.
Dalam pada itu, Ketua Pentagon itu turut menyentuh kemajuan kerjasama AS dengan ASEAN termasuk ancaman melibatkan pertikaian Laut China Selantan dan keganasan di Myanmar.
“AS mengulangi kebimbangan mengenai aktiviti provokasi oleh Rakyat Republik China (PRC) di Laut China Selatan. Ia adalah penting untuk menghormati kebebasan pelayaran laut lepas yang dijamin di bawah undang-undang antarabangsa.
“Saya menyeru PRC untuk mematuhi Anugerah Tribunal Timbang Tara Laut China Selatan 2016 yang muktamad dan sah,” jelasnya.
Justeru, Lloyd berkata, AS memberikan sokongan penuh kepada pelaksanaan Konsesus Lima Perkara ASEAN iaitu rancangan keamanan bagi menangani konflik yang berlaku. – KOSMO! ONLINE