PETALING JAYA- “Bila bercakap mengenai Zayn Rayyan, pasti saya akan rasa sedih. Memang rasa rindu. Kadangkala saya akan buka gambar-gambarnya dalam telefon (bimbit)”
Demikian luahan ibu mentua pengasuh kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang masih ‘dihantui’ kejadian pembunuhan kejam itu.
Menurut, Che Zaiton Abd Aziz, 55, dia yakin seluruh rakyat Malaysia akan berasa lega dengan tertangkapnya suspek sebenar.
“Apabila kes ini selesai, saya yakin banyak pihak akan berasa lega. Kejadian ini jelas memberi kesan kepada banyak pihak, bukan sahaja penduduk di sini, malah diri dan keluarga saya sendiri kerana kami pernah menjaga Zayn,” katanya ketika ditemui di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini hari ini.
Jelas Che Zaiton, dia tidak terkecuali berasa terkejut dengan penahanan pasangan ibu bapa Zayn Rayyan, namun enggan mengulas lanjut berkenaan tangkapan tersebut.
“Saya yakin semua pihak terkejut termasuk saya, namun kalau itu keperluan polis untuk menjalankan siasatan kita serahkan sahaja kepada pihak berkuasa.
“Sebagai keluarga pengasuh yang pernah menjaga Zayn Rayyan, saya berharap siasatan kes ini dapat diselesaikan dengan baik dan pelaku sebenar dapat dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.
Mengulas lanjut, Che Zaiton sekeluarga reda dengan kehilangan ‘anak syurga’ itu dan mengharapkan pelaku dihukum setimpal.
“Semua pihak perlu reda termasuk saya sendiri. Cuma saya harapkan kes dapat dirungkai,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk ketika ditemui memaklumkan, kediaman keluarga itu sudah lama tidak berpenghuni dan difahamkan ibu bapa Zayn Rayyan sudah berpindah beberapa minggu selepas kejadian.
Menurut Siti Norzahiyah Bakar, 30, yang merupakan penduduk Blok R Apartmen Idaman, dia sekeluarga masih berhati-hati untuk melepaskan anak kecil bermain di luar selepas kejadian tersebut.
“Penduduk yang ada anak kecil memang rasa bimbang dan trauma sampai sekarang kerana pelakunya masih belum ditahan.
“Saya sendiri mempunyai dua anak berusia lima dan enam tahun tidak akan membenarkan mereka keluar termasuk bermain di luar rumah. Saya akan menemani mereka ke mana-mana,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE.