MENURUT laporan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Malaysia menghasilkan lebih 8 juta tan metrik sisa makanan setiap tahun atau hampir 20,000 tan setiap hari.
Lebih memeranjatkan, 24 peratus daripada jumlah itu atau sekitar 4,000 tan sisa tersebut merupakan makanan yang masih elok untuk dimakan.
Jumlah itu dikatakan mencukupi untuk menyediakan makanan sebanyak tiga kali sehari kepada 2.9 juta individu.
Menyedari hakikat itu, seramai 10 orang mahasiswa Asasi Sains Sosial daripada Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) telah meluangkan masa bersama sebuah badan bukan kerajaan (NGO), The Lost Food Project.
Hasilnya, mereka berjaya menyelamatkan lebih 100 kilogram (kg) sayur-sayuran dan buah-buahan dari pasar serta pembekal di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.
Sayur tersebut kemudiannya diagihkan kepada penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur.
Salah seorang mahasiswa UM yang menyertai program sukarelawan itu, Muhammad Irfan Mohd. Sukri, 19, berkata, biarpun mereka hanya berkesempatan menyertai aktiviti berkenaan pada satu sesi, namun pengalaman yang ditimba sangat bernilai.
“Melaluinya, kami bertambah yakin yang generasi muda sebenarnya mempunyai tanggungjawab besar dalam membentuk masa depan,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.
Untuk makluman, NGO berkenaan menjadikan sebuah gudang yang terletak di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur sebagai tapak operasi.
Tambah Muhammad Irfan, mereka juga telah bekerjasama dengan hampir 80 badan amal untuk mengasingkan sayur-sayuran dan buah-buahan terbuang daripada pembekal serta pasar raya terpilih.
Produk yang masih elok kemudiannya dikumpulkan, sebelum diagihkan kepada penduduk di beberapa lokasi PPR.
Seorang lagi sukarelawan UM, Amni Zara Mohd. Azmin, 19, berkata, dia gembira kerana berpeluang menyertai program kesukarelawanan itu buat pertama kalinya.
“Lebih manis, kami berpeluang bertemu dengan individu penting program ini iaitu Sarah Grasset yang merupakan Timbalan Presiden The Lost Food Project.
“Sejujurnya, saya sangat terinspirasi melihat kesungguhannya melakukan sesuatu yang berimpak kepada komuniti setempat.
“Bukan sahaja untuk masa sekarang, tetapi untuk generasi akan datang,” jelasnya.
Tambahnya, lebih mengujakan, keseluruhan program itu sebenarnya berasaskan kepada cetusan idea untuk menyelamatkan makanan yang masih elok daripada dibuang.
Menariknya, siswa UM bukan sahaja dapat menimba pengalaman sebagai sukarelawan, malah berpeluang untuk mengenali pelbagai jenis sayur-sayuran di pasaran.
Sementara itu, Putri Syaza Alyaa Mohd. Aszairi, 19, yang turut menyertai program tersebut mengakui, dia hanya mengenali daun salad (Lactuca sativa) jenis ‘iceberg’ kerana sering menikmati hidangan nasi ayam.
“Banyak lagi jenis daun salad yang dihasilkan seperti jenis ‘coral’ dan ‘romaine’ yang boleh digunakan dalam pelbagai juadah,” katanya.
Bagi Irdina Sofiyyah Ahmad Kamarul, 19, dia berharap lebih ramai mahasiswa UM dapat meluangkan masa untuk melakukan program sukarelawan seperti itu.
“Penglibatan mahasiswa bukan hanya membantu pemegang taruh terlibat secara langsung.
“Malah, ia turut membina sahsiah diri yang baik demi menghasilkan graduan holistik pada masa hadapan,” jelasnya.