Entah suratan atau kebetulan, beberapa hari kebelakangan ini kita disogokkan dengan kes-kes jenayah yang didakwa dilakukan oleh pendakwah, ustaz, guru tahfiz dan pengamal perubatan Islam yang bertali arus.
Pelbagai salah laku dikaitkan dengan mereka seperti memperkosa, mencabul dan sebagainya.
Kegemparan mula tercetus pada bulan lalu apabila seorang gadis mendakwa dirogol seorang pendakwah selebriti sehingga pemuda berusia 25 tahun itu didakwa di mahkamah-mahkamah di
Lembah Klang pada bulan ini atas tiga pertuduhan melibatkan kesalahan rogol, cabul dan perhubungan seks luar tabii terhadap wanita.
Difahamkan, terdapat tujuh laporan polis diterima yang dikaitkan dengan pendakwah dari program realiti itu.
Kemudian dua hari lalu, seorang pengamal perubatan Islam bergelar ustaz di Terengganu pula dituduh mencabul dua wanita. Lelaki berusia 52 tahun itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan wanita berusia 31 tahun dan 25 tahun dalam kejadian berasingan.
Apabila golongan yang disandarkan kepada agama ini dikaitkan dengan kesalahan-kesalahan sebegini, yang malu dan tercalar reputasinya bukan sahaja diri mereka, tetapi juga maruah agama mereka yang suci iaitu Islam.
Sedar tidak sedar, golongan ini telah menjadi fitnah kepada agama mereka sendiri apabila sesetengah orang menabur persepsi salah tentang Islam. Masyarakat bukan Islam mungkin silap faham tentang Islam dan tidak dapat melihat gambaran sebenar Islam kerana si alim kucing ini manakala musuh-musuh Islam pula ‘mengalu-alukan’ cerita-cerita sebegini untuk memburukkan agama ini.
Mereka mungkin menggambarkan penganut agama ini menggalakkan kekerasan, tidak boleh dipercayai, dikuasai nafsu dan sebagainya sedangkan itu bukan ciri-ciri akhlak Islam sejati yang sentiasa menyeru menundukkan pandangan.
Lebih sedih apabila masyarakat Islam sendiri mula menjauhi dan cenderung skeptikal kepada golongan ini secara ‘pukul rata’. Adakah kita gembira apabila istilah ‘penunggang agama’ bermaharajalela di media-media sosial bagai sudah dipaterikan kepada golongan ini di benak masyarakat Islam sendiri sedangkan golongan seperti ustaz inilah pembimbing yang disifatkan sebagai pewaris para nabi, perlu didampingi dan dimuliakan?
Individu berkerjaya ustaz apatah lagi mereka yang mengejar gelaran itu menerusi program-program realiti televisyen seharusnya lebih bertanggungjawab dalam memegang gelaran tersebut kerana anda sendiri yang ‘mencari’ gelaran murni itu.
Kita tidak mahu golongan agamawan seperti Ustaz Hamadi dalam drama Nur atau kata-kata dramatis Allahyarham M. Rajoli dalam sebuah drama signatur ajaran sesat ‘ulamak itu ular dalam semak’ membekas dalam persepsi masyarakat.
Jika merasakan diri berkalung dosa dan maksiat serta menonjolkan akhlak Islam jauh sekali, nasihat penulis, lupakan hasrat mengejar gelaran tersebut dan serahkan kepada yang hak seandainya diri benar cintakan agama dan tidak mahu mencalar kesucian agama sendiri.
Buktikanlah bahawa seorang Islam itu adalah orang yang membuat orang lain selamat daripada lidah dan tangannya seperti mana disabdakan Rasulullah SAW.