fbpx

Penamat malang legenda Dortmund

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REUS menutup kariernya bersama Dortmund tanpa memenangi trofi berprestij seperti UCL apabila tewas dua kali di pentas final.

LONDON – Bintang Borussia Dortmund, Marco Reus kempunan untuk merealisasikan impian pasukannya menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila tewas 0-2 kepada Real Madrid dalam perlawanan akhir di Stadium Wembley awal pagi semalam.

Lebih memeritkan apabila ini kali kedua perancang tengah berusia 35 tahun itu berputih mata di pentas final UCL selepas pernah merasai kegagalan tersebut di Wembley ketika tewas kepada Bayern Munich sewaktu edisi 2013.

Pada final kali ini, Reus masuk menggantikan Karim Adeyemi pada minit ke-72 untuk menambah sengat di bahagian serangan Dortmnd yang ketika itu sedang mendominasi perlawanan.

Malangnya, kemasukan Reus gagal menghadirkan impak positif, sebaliknya Real berjaya mengubah situasi perlawanan dengan meledak gol pertama menerusi Dani Carvajal sebelum Vinicius Junior memastikan kemenangan buat juara Sepanyol itu.

Ia sekali gus menjadi penamat malang buat Reus yang menyarung jersi Dortmund selama 12 musim dengan membuat 429 penampilan dalam semua kejohanan sebelum meninggalkan kelab berkenaan musim depan.

“Dortmund adalah segala-galanya buat saya. Bukan sesuatu yang mudah untuk bermain bersama satu kelab selama 12 tahun, tetapi saya kekal bukan disebabkan nama atau duit. Saya selesa dengan suasana yang ada di sini.

“Tiada yang lebih indah daripada bermain perlawanan terakhir bersama kelab anda di pentas fina UCL. Memang kecewa kerana kami tidak memenanginya, tetapi saya tidak dapat meminta lebih lagi daripada ini,” kata Reus.

Difahamkan, bekas tonggak Jerman itu mahu mengambil sedikit waktu sebelum mengesahkan destinasi seterusnya dalam kariernya meskipun hangat disebut-sebut bakal mewarnai saingan Liga Major Bola Sepak Amerika Syarikat (MLS) selepas ini.

Sebagai rekod, Reus dianggap sebagai legenda Dortmund sejak mula menyertai kelab itu daripada Borussia Monchengladbach pada Januari 2012.

Bagaimanapun, Reus gagal memenangi trofi berprestij dalam kariernya bersama Dortmund apabila hanya mampu menjulang dua gelaran Piala DFB dan tiga Piala Super Jerman sepanjang mewakili kelab itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI