NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 33 kakitangan pilihan raya India meninggal dunia pada hari terakhir pengundian akibat strok haba di sebuah negeri berikutan suhu panas melampau.
Sebelum ini, terdapat laporan mengenai berbilang kematian akibat gelombang haba ekstrem dengan suhu melebihi 45 darjah Celsius di kebanyakkan tempat negara itu.
Bagaimanapun, kematian berpuluh-puluh kakitangan pilihan raya dalam satu hari menunjukkan jumlah yang sangat membimbangkan.
Jabatan Meteorologi India (IMD) berkata, suhu di Jhansi, negeri Uttar Pradesh mencecah 46.9 darjah Celsius. Angka itu termasuk pengawal keselamatan dan kakitangan sanitasi.
Ketua Pegawai Pilihan Raya Uttar Pradesh, Navdeep Rinwa berkata, seramai 33 petugas mati akibat cuaca panas pada hari terakhir pengundian semalam.
“Pampasan wang sebanyak 1.5 juta rupee (RM84,526) akan diberikan kepada keluarga si mati,” katanya kepada pemberita.
Pakar menyatakan bahawa apabila seseorang mengalami dehidrasi, pendedahan haba yang melampau memekatkan darah mereka dan menyebabkan organ tidak lagi berfungsi.
Rinwa selain itu melaporkan tentang satu lagi kejadian berasingan, di mana seorang lelaki yang beratur untuk mengundi di bandar Ballia tidak sedarkan diri sebelum dia meninggal dunia.
“Pengundi itu dibawa ke kemudahan kesihatan, di mana dia disahkan meninggal dunia sebaik tiba,” katanya.- AFP