KOTA BHARU – Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara) menggantung tugas pemandunya yang memandu secara berbahaya ketika cuba memotong sebuah treler di laluan berselekoh serta bergarisan putih berkembar.
Pengerusinya, Che Ibrahim Che Ismail berkata, tindakan tegas itu bagi membolehkan siasatan dalaman dapat dijalankan sebaik mungkin.
Menurutnya, pemandu itu juga sudah dipanggil untuk memberi keterangan.
“Tindakan pemandu bas itu bukan sahaja membahayakan penumpang, malah ia turut memberi kesan buruk kepada syarikat.
“E-Mutiara mengambil serius perkara tersebut dan tidak akan berkompromi dengan pemandu yang melakukan kesalahan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Che Ibrahim memberitahu, pihaknya sebelum ini pernah mengambil tindakan terhadap pemandu yang membahayakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.
Menurutnya, sikap pemandu itu akan menyebabkan syarikat berdepan tindakan daripada pihak berkuasa.
“E-Mutiara sentiasa menitikberatkan soal keselamatan pengguna sepanjang menggunakan perkhidmatan bas di bawah kendalian syarikat berkenaan,” ujarnya.
Kosmo! Online semalam melaporkan, orang ramai mengecam tindakan seorang pemandu bas ekspres yang memandu secara berbahaya ketika cuba memotong sebuah treler di laluan berselekoh serta bergarisan putih berkembar.
Menerusi satu video berdurasi 40 saat yang tular di media sosial menunjukkan bas berkenaan nyaris dengan sebuah kenderaan dari arah depan. – KOSMO! ONLINE