PETALING JAYA – Jenazah peserta Ekspedisi Gunung Denali di Alaska, Amerika Syarikat, Allahyarham Zulkifli Yusuf, 37, selamat dibawa turun dari lokasi kejadian pukul 8.30 pagi semalam waktu tempatan.
Menerusi kenyataan Kelab Jelajah Alpine Malaysia, jenazah kini ditempatkan di sebuah hospital di Anchorage, Alaska dan akan menjalani proses selanjutnya.
“Kami mendapat maklumat melalui Konsular Malaysia di Los Angeles dan pihak penyelamat. Pihak keluarga juga sedang berurusan dengan syarikat insuran dibantu wakil Konsular Malaysia untuk membawa jenazah pulang ke Malaysia dalam masa terdekat.
“Dua pendaki lain iaitu Illaham Ishak dan Zainudin Lot masih berada di hospital untuk rawatan akibat frostbite,” menurut kenyataan tersebut hari ini.
Selain itu, wakil Kelab Jelajah Alpine, Norsafrina Shamsir Md. Nasir kini berada di Talkeetna Alaska untuk membantu urusan membawa pulang jenazah dan dua pendaki tersebut.
“Untuk sementara ini kami mohon agar pihak waris dan keluarga diberikan ruang privasi sebaiknya.
“Kami mohon agar rakyat Malaysia doakan agar semua urusan dipermudahkan,” ujarnya.
Semalam, Kosmo! melaporkan seorang pendaki Malaysia maut, manakala dua lagi selamat selepas terkandas selama tiga hari di Gunung Denali, Alaska, Amerika Utara.
Allahyarham Zulkifli disahkan meninggal dunia pada 6 pagi hari Rabu (waktu tempatan) semasa berlindung di “snow cave” di kawasan dikenali sebagai “Football field” di ketinggian 19700 kaki dari aras laut.
Punca kematian disyaki akibat High Altitud Cerebral Edema dan Hyporthermia dan akan disahkan melalui post mortem. – KOSMO! ONLINE.