KLUANG – Penduduk khususnya mereka yang sering berhadapan konflik dengan gajah dinasihatkan tidak menggunakan undang-undang sendiri untuk menyelesaikan masalah dihadapi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Lee Ting Han berkata, perkara sebaiknya adalah mencari penyelesaian dengan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di negeri ini.
“Sepatutnya apabila ada konflik dengan haiwan liar seperti ini, mereka melaporkannya kepada pihak berkaitan, bukan mengambil tindakan tidak sepatutnya.
“Saya amat sedih dengan kejadian seperti ini, kerana meracun haiwan yang merosakkan tanaman tidak menamatkan konflik malah dibimbangi akan berlaku lebih teruk pada masa akan datang,” katanya ketika meninjau tempat penemuan bangkai gajah di Kampung Sri Timur hari ini.
Ting Han yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh dalam pada itu mengucapkan terima kasih atas tindakan Perhilitan, Jabatan Veterina dan polis atas tindakan segera menangani situasi di tempat kejadian.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon berkata, empat ekor gajah yang ditemui mati di Kampung Sri Timur di sini hari ini adalah seekor gajah betina serta tiga ekor anak jantan.
“Untuk makluman semua, Perhilitan Daerah Kluang telah mengambil tindakan untuk membuat siasatan dengan mengambil sampel daripada bangkai gajah untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Setakat ini, punca kematian gajah masih dalam siasatan,”katanya.-KOSMO! ONLINE