SINGAPURA – Indonesia bersedia menghantar pasukan pengaman bagi menguatkuasakan gencatan senjata di Gaza, Palestin sekiranya diperlukan.
Presiden Terpilih Indonesia, Prabowo Subianto berkata, cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden melakukan gencatan senjata di Gaza merupakan suatu tindakan yang tepat.
“Jika Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) perlukan, kami bersedia untuk menyumbang pasukan pengaman untuk mengekalkan dan memantau gencatan senjata.
“Indonesia juga bersedia menyediakan perlindungan dan keselamatan kepada semua pihak,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Keselamatan Asia ke-21 Dialog Shangri-La 2024, di sini hari ini.
Prabowo yang juga Menteri Pertahanan Indonesia berkata, Presidennya, Joko Widodo (Jokowi) sebelum ini telah membuat kenyataan bahawa negara itu juga bersedia memindahkan dan merawat seramai 1,000 rakyat dari Gaza.
Mengulas lanjut, kata Prabowo, isu kemanusiaan yang berlaku di Rafah termasuk konflik Palestin secara menyeluruh perlu diselesaikan segera.
“Ia bukan sahaja hak Israel untuk wujud tetapi juga hak rakyat Palestin untuk hidup dengan aman dan memiliki tanah air sendiri,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE