PETALING JAYA – Pasangan suami isteri yang juga ibu bapa kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang dibunuh dalam kejadian di Damansara Damai, Disember lalu, ditahan hari ini.
Difahamkan kedua-dua individu itu ditahan di sekitar Puncak Alam kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Bagaimanapun butiran berkaitan penahanan terbabit belum diperoleh setakat ini.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan berkaitan tangkapan.
Jelasnya, kedua-dua individu tersebut akan direman esok.
7 Disember lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai sekitar pukul 10 malam.
Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan dengan jenayah.-KOSMO! ONLINE.