fbpx

Kanada-Malaysia perkukuh hubungan pertahanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled (kiri) bertemu rakan sejawatnya Bill sempena Dialog Shangri-La 2024 hari ini. -Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

SINGAPURA – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled mengadakan pertemuan bersama Menteri Pertahanan Kanada, Bill Blair sempena Sidang Kemuncak Keselamatan Asia ke-21 Dialog Shangri-La 2024 (SLD24).

Ia merupakan perjumpaan kali kedua bersama rakan sejawatnya itu sejak Persidangan Keselamatan Munich di Jerman Februari lalu.

Dalam pertemuan itu, Mohamed Khaled berkata, Kanada menyatakan minat untuk mengukuhkan hubungan pertahanan dengan Malaysia.

“Kita turut membincangkan kepentingan memberi pemahaman pertahanan kepada masyarakat bagi meningkatkan kesedaran kedudukan semasa dan kepentingan memperkasa kesiagaan pasukan pertahanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Kosmo! di Hotel Shangri-La, di sini tadi.

Menurut Mohamed Khaled, perkara tersebut selari dengan pendekatan ‘whole of society’ (secara menyeluruh) yang dinyatakan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) Malaysia.

“Menteri Pertahanan Kanada turut berkongsi pengalaman dan strategi mereka menguruskan persepsi awam berkaitan pertahanan, khususnya dalam membahaskan peruntukan dan perbelanjaan pertahanan.

“Kita juga ada membuat rundingan kerjasama yang bersesuaian dalam memperkukuh keupayaan berhadapan ancaman bukan tradisional seperti serangan siber,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamed Khaled turut mengadakan pertemuan bilateral bersama Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Ng Eng Hen.

Beliau juga sempat beramah mesra bersama Menteri Pertahanan China Dong Jun dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

SLD24 merupakan persidangan berprestij menyaksikan menteri pertahanan dari seluruh dunia berhimpun untuk membincangkan cabaran keselamatan utama yang dihadapi hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI