PENAMPANG – Siapa sangka percubaan mengikuti pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau buat kali ketiga akhirnya meletakkan Hyellene Danius 27, sebagai Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2024.
Kemenangan Hyellene, gadis kelahiran Ranau yang juga seorang guru Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tsi Sin, Tenom menewaskan 51 peserta lain di pusingan akhir.
Anak bongsu daripada sembilan beradik itu membawa pulang wang tunai sebanyak RM12,000 berserta beberapa hadiah iringan.
Dalam pada itu, pertandingan UNK 2024 menyaksikan tempat kedua dimenangi oleh Elldiwirna Saimen yang mewakili daerah Kiulu manakala tempat ketiga pula dimiliki wakil dari Keningau, Monicka Majin.