fbpx

Kerjasama pertahanan lima negara kekal relevan jamin keselamatan serantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dari kiri, Judith, Mohamed Khaled, Eng Hen, Richard dan Paul berjabat tangan sebagai simbolik jalinan kerjasama pertahanan lima negara selepas mesyuarat FDMM FPDA ke-12 hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

SINGAPURA – Kemajuan dan pencapaian Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang memberangsangkan sepanjang 53 tahun sejak penubuhannya membuktikan kerjasama itu kekal relevan bagi memastikan keselamatan serantau terjamin.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan (FDMM) FPDA ke-12, kesemua wakil delegasi negara ahli mengesahkan komitmen secara berterusan terhadap kerjasama tersebut.

Mesyuarat itu yang dipengerusikan Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Ng Eng Hen berlangsung di Hotel Conrad Singapore Orchard, di sini hari ini.

Ia melibatkan Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles, Menteri Pertahanan New Zealand, Judith Collins dan Ketua Delegasi United Kingdom (UK), Paul Wyatt.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Dalam pada itu, kesemua menteri dan wakil delegasi bersetuju bahawa FPDA berjaya membina hubungan yang kukuh dari aspek pertahanan dalam kalangan anggota tentera serta menggalakkan penghormatan undang-undang antarabangsa.

“Menteri-menteri turut memberikan pujian di atas kejayaan Eksesais Bersama Lima pada Oktober 2023 dan Eksesais Bersama ‘Shield’ dari April hingga Mei lalu,” katanya.

Dalam pada itu, mesyuarat itu juga membincangkan pendekatan untuk meningkatkan nilai profesional dalam latihan sambil mengekalkan siri eksesais konvesional.

“Penambahbaikan secara berterusan dapat memastikan FPDA kekal relevan dalam persekitaran keselamatan serantau yang berubah-ubah.

“Idea yang dibincangkan termasuk menggabungkan keupayaan generasi baharu termasuk jet pejuang F-35 dari Australia, pesawat peronda maritim P-8 Poseidon dari New Zealand dan elemen ‘Carrier Strike Group’ dari UK, serta sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) dan keselamatan bukan tradisional,” ujarnya.

Pada masa sama, kerjasama pertahanan lima negara itu turut melancarkan lawan web rasmi FPDA selaras dengan usaha meningkatkan ketelusan dan kesedaran berkaitan tujuan, prinsip dan aktiviti utamanya.

“FPDA akan terus berfungsi sebagai platform yang penting untuk membantu negara ahli membuat keputusan, mencipta peluang untuk bergerak maju dan mencari penyelesaian kepada cabaran masa depan,” jelasnya.

Sementara itu, kesemua wakil pertahanan lima negara turut mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong di Istana, di sini selepas selesai mesyuarat tersebut.

Untuk rekod, FPDA yang ditandatangani lima negara itu pada 1971, bertujuan memastikan Singapura serta Malaysia mempunyai saluran bantuan sekiranya berlaku serangan bersenjata di kedua-dua negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI