fbpx

Pukul OKU: Pegawai terlibat akan dipanggil ke Bukit Aman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil pegawai-pegawai terlibat berhubung anggota pengiring yang memukul seorang pemandu e-hailing di lobi sebuah hotel di ibu negara pada 28 Mei lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh berdasarkan perkembangan terkini yang diperolehi.

“Pegawai-pegawai yang terlibat dalam insiden ini akan dipanggil ke Bukit Aman untuk membantu siasatan.

“Langkah ini diambil untuk memastikan penyiasatan dilakukan secara menyeluruh dan semua pihak yang terlibat dapat memberikan keterangan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Razarudin, keutamaan dalam setiap siasatan adalah untuk memastikan bahawa tiada pelaku terlepas daripada tanggungjawab atas perbuatan yang dilakukan.

“Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pegawai yang didapati bersalah.

“PDRM komited untuk memelihara integriti dan memastikan bahawa tindakan yang sewajarnya diambil untuk mempertahankan keadilan dan melindungi hak-hak individu yang terjejas, terutama golongan Orang Kurang Upaya (OKU),” ujarnya.

Terdahulu, pemandu e-hailing yang juga seorang lelaki OKU, telah membuat laporan polis kedua menyatakan perkara tersebut sudah diselesaikan secara baik serta tidak mahu memanjangkan kes

Sebelum ini, mengikut laporan yang dibuat mangsa yang berusia 46 tahun bekerja sebagai pemandu e-hailing Grab mengambil empat penumpang di hotel berkenaan pada pukul 11.40 pagi, 28 Mei lalu.

Semasa pengadu sampai dan menunggu penumpang, rombongan VIP tersebut bergerak keluar dari lobi hotel.

Salah seorang pegawai VIP itu telah mengetuk cermin kereta hadapan untuk meminta pengadu bergerak sebelum menumbuk kepala mangsa supaya mengalihkan kereta.

Difahamkan, pengadu mendapatkan rawatan awal di Hospital Kuala Lumpur dan disahkan mengalami ‘soft tissue injury’.

Pegawai penyiasat ke tempat kejadian untuk melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) hotel dan merampas telefon bimbit dan kamera papan pemuka (dashcam) kereta pengadu bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI