PUTRAJAYA – Calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dipelawa memohon program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan di Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).
Kesuma dalam kenyataan berkata, terdapat 32 ILJTM di seluruh negara yang menawarkan lebih 50 program dan 112 kursus kepada lepasan sekolah.
Pada masa sama, katanya, calon lepasan SPM yang berjaya ditawarkan kursus TVET kini berpeluang memohon pinjaman latihan kemahiran Islamik yang disediakan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
“Ia dengan syarat Program Latihan Kemahiran yang ditawarkan ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan berdaftar dengan PTPK.
“Calon-calon lepasan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 boleh membuat permohonan Kursus TVET di portal UP_TVET sehingga 11 Jun ini melalui pautan https://mohon.tvet.gov.my/ manakala calon-calon lepasan SPM melalui UPU sehingga 9 Jun ini,” katanya hari ini.
Katanya, TVET adalah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan memberi penekanan terhadap amalan industri.
Jelas Kesuma, bidang-bidang yang ditawarkan di bawah program latihan TVET di ILJTM telah mengikut standard pekerjaan yang diiktiraf, dengan penekanan terhadap komponen praktikal dan pendedahan kepada latihan industri.
“Kesuma melalui Jabatan Tenaga Manusia (JTM) menawarkan latihan TVET di peringkat Sijil, Diploma dan Diploma Lanjutan bagi menghasilkan tenaga kerja mahir dan separa mahir.
“Program-program latihan TVET yang ditawarkan ini adalah penting untuk menyediakan modan insan berkemahiran yang diperlukan oleh industri,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE